Rabu, 12 Februari 2014

Hydra - Within Temptation

Hydra... antara yang terbaik dari Within Temptation
Within Temptation antara nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia metal antarabangsa, bukan nama band itu sahaja malah vokalisnya juga turut disebut-sebut antara vokalis band symphonic metal yang cukup disegani sehingga ada yang menamakan dia sebagai queen of symphonic metal. Namun itu bukanlah cerita kita kali ini… tetapi lebih menjurus pada buah tangan terbaharu band Within Temptation atau WT, yang dianggotai oleh  Sharon den Adel – vokalis, Robert Westerholt – gitar, Ruud Jolie – gitar, Martijn Spierenburg – keyboard, Jeroen van Veen – gitar bass,  Mike Coolen – dram dan Stefan Helleblad – gitar tambahan.

WT telahpun hadir dengan hasil terbaharu mereka iaitu Hydra sebuah album penuh, studio keenam WT, telahpun diriliskan pada 31 Januari 2014. Album Hydra menampilkan penyanyi jemputan band metalcore iaitu Howard Jones, bekas anggota band Killswitch Engage, penyanyi rap – Xzibit, penyanyi symphonic metal yang bergerak secara solo yang juga bekas vokalis Nightwish – Tarja Turunen dan penyanyi band alternative rock, Soul Asylum – Dave Pirner. Itu antara individu yang mempunyai nada vokal yang tersendiri turut mewarnai album terbaharu WT - Hydra.

Menurut WT, tajuk album tersebut merujuk pada kehebatan kepelbagaian genre muzik WT yang sentiasa bertambah baik dan berkembang setiap masa. Menurut gitaris WT, Robert Westerholt “Hydra merupakan tajuk album yang sempurna untuk album terbaharu mereka lantaran ia mewakili kepelbagaian sisi muzik bawaan mereka”.

Menurut mitos Greek purba pula, Hydra merupakan ular gergasi yang mempunyai banyak kepala yang tidak memungkinkan kepalanya di potong. Maka dengan kekuatan mitos Greek purba itulah semangat dan aura Hydra diterapkan pada album terbaharu WT.

Pembikinan album tersebut telah bermula dalam tahun 2012. Penerbitan single , rakaman video dan pelbagai lagi aktiviti termasuk persembahan dan tour melewatkan tarikh rilis album tersebut yang dijadualkan pada awalnya dalam bulan September 2013. Meskipun demikian WT sempat meriliskan 4 single menerusi album Hydra iaitu Paradise (feat Tarja), Dangerous, Whole world is watching dan And we run.

Diperingkat awal album tersebut diriliskan, WT menerima banyak maklum balas antaranya dari stesen radio Rock Antene yang menyatakan bahawa album tersebut “fast” dan  “heavy” sehingga  diberikan markah 5/5 oleh sesetengah pihak. Majalah muzik Reflections of Darkness pula memberi markah penuh 10/10 dengan mengklasifikasikannya sebagai “earthly and modern” berbanding dengan album terdahulu yang lebih menjurus pada atmosfera “celestial romance and coldness”. Album ini juga dikatakan “fashionable influences” kerana penampilan penyanyi undangan khas dan arah tuju muzik mereka yang sedikit berbeza. Pernyataan itu juga menamatkan tuduhan yang WT akan tetap berpegang teguh dengan elemen symphonic metal dan progressive metal. Dikatakan juga WT kembali kepada asas mereka dengan bunyi yang lebih berat dan dramatik selain terus berkembang melewati batas sempadan muzik mereka. Malah WT juga dikatakan menampilkan album yang melakurkan stail muzik yang dipersembahkan. Antara komen yang cukup menarik juga untuk album Hydra ini ialah “album yang penuh dengan synth, bunyi gitar yang segar, mendayu dan indah dan juga bunyi ‘backing’ vokal yang sempurna serta harmoni”. 

Sedikit komen dan maklum balas yang boleh kita kongsi bersama bagi album Hydra WT, namun bagi shaqmetal  secara peribadi Hydra telah menolak  semula nama WT ke hadapan setelah sedikit hanyut menerusi album seperti “The Unforgiving”. Lantaran bunyi yang dihasilkan menerusi album tersebut(The Unforgiving) terlalu  modern dan tidak sesuai dengan bunyi celtic bawaan mereka. Maka kritikan yang agak keterlaluan dilemparkan, namun sesetengah individu pula menyukai akan perubahan tersebut. Apapun shaqmetal  secara peribadinya tidak menyukai album “The Unforgiving” WT lantaran bunyi  agak tersasar dari landasan jalur muzik WT yang sebenar. Tetapi bagi album Hydra ini olahan dan gubahan serta arahan bunyi muzik WT cukup menarik dan indah serta harmoni menjadikan perubahan serta elemen fushion yang dimuatkan itu menjadi satu garapan yang cukup untuk memenuhi ruang udara persekitaran bunyi symphonic metal yang fushion, modern namun tetap ada elemen celtic dalam bunyi symphonic WT.

Talaan bunyi WT bagi album Hydra menjadikan muzik symphonic metal WT menerusi album Hydra ini cukup segar, harmoni, berat, pantas, padu dan indah. Vokal Sharon seakan – akan menyerap dalam jalur muzik yang dipersembah, menjadikan alunan muzik dan vokal berpadu dan berjalan seiringan lantas menghasilkan bunyi Hydra WT yang tersebdiri dalam kelasnya meskipun masih berpijak pada jalur muzik symphonic metal.

Bagi mengetahui, mendengar, merasai dan menikmati muzik WT menerusi album Hydra adalah lebih baik dengarkan sendiri dan dapatkan jawapan sendiri untuk Hydra. Pandangan dan pendapat shaqmetal bukanlah pendapat purata semua pendengar, ini adalah pandangan dan pendapat individu shaqmetal. Apa pun pendapat anda terserah pada bagaimana cara anda menikmati muzik yang anda minati. 
























Tiada ulasan: