Rock antara genre muzik yang telah lama bertapak dalam senario perjalanan seni, muzik tempatan. Sejak kebangkitan era rock dalam era 80an muzik rock tempatan terus berkembang dengan kelahiran pelbagai genre muzik rock seperti rock n roll, heavy metal, punk rock, alternative rock, arena rock, blues rock, country rock, glam rock, hard rock, power rock, progressive rock, surf rock dan bermacam-macam lagi rock.
Namun tumpuan adalah lebih terarah kepada beberapa genre muzik rock yang telah lahir dalam industri muzik tempatan sejak berkembangnya muzik rock di Malaysia. Bermula dengan kelahiran Battle Of The Bands maka dari situ dilihat irama rock terus menular dalam arena muzik tempatan. Pelbagai nama kumpulan rock ujud dengan versi rock tersendiri namun setakat yang ujud ketika itu genre muzik mereka agak terarah pada genre muzik rock n roll, heavy metal, glam rock, folk rock dan hard rock. Selang beberapa tahun kemudian ada usaha untuk memasuki elemen power rock / metal, progressive rock / metal, symphonic rock, symphonic metal dan piano rock ke dalam arena muzik rock tempatan namun sayang usaha itu tidak menampakkan kejayaan. Lantas setelah terhukum begitu sahaja, usaha untuk mempelbagaikan genre muzik rock di Malaysia terus terbantut.
Dalam pada itu juga penularan muzik underground juga terus menerjah dengan kehadiran pelbagai kumpulan baru seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kehadiran kumpulan secara underground ini lebih menjurus kepada genre muzik thrash metal, black metal dan death metal walaupun demikian ada juga segelintir kelompok pemuzik underground lebih menjurus ke arah mainstream seperti bermain genre reggae, ska dan beberapa genre yang ada dalam aliran mainstream serta komersial. Meskipun kedua aliran seakan-akan bangkit secara serentak namun perjalanannya juga terbahagi kepada dua saluran iaitu satu kelompok pergi lebih terarah dan komersial dan satu kelompok lagi bergerak secara underground dan cuma diikuti oleh pengikut-pengikut dan golong mereka sendiri. Pergerakan kumpulan underground nampak lebih eksklusif lantaran cuma golongan pengikut irama genre itu sahaja yang lebih berpeluang untuk menikmati muzik underground. Namun untuk catatan ini apa yang ingin disentuh ialah perjalanan genre muzik rock yang bergerak secara komersial dalam mencorak senario muzik rock tempatan.
Secara lebih jelas lagi perkembangan genre muzik rock yang lebih meriah dalam atmosfera muzik tempatan ialah dengan kelahiran album pertama kumpulan Searh – Cinta Buatan Malaysia dalam tahun 1985 diikuti pula dengan terbitnya album Battle Of The Bands 1 & 2 yang terus mengangkat genre muzik rock di Malaysia.
Kalau diperhatikan secara lebih menjurus kepada genre muzik yang ditampilkan oleh kumpulan-kumpulan rock yang ditubuhkan waktu itu, rata-rata mereka tampil dengan genre muzik rock atau subgenre muzik rock yang seakan-akan sama iaitu rock n roll, hard rock, heavy metal, thrash dan glam rock. Secara amnya perkembangan muzik rock dalam senario tempatan waktu itu masih lagi sangat terhad sedangkan pelbagai genre muzik rock boleh diterokai waktu itu.
Dari satu sudut pula kalau diperhatikan cara ahli kumpulan-kumpulan tersebut berpakaian pula lebih menjurus kepada glam rock yang mana penampilan dan cara berpakaian mereka yang lebih glamour dan juga cara tata rias atau make-up mereka. Secara umumnya penampilan mereka ala-ala wanita. Manakala dari aspek muzik yang dianuti mereka lebih terarah pada sub genre muzik rock ‘n’ roll, heavy metal, glam rock dan pop rock.
Dalam perkembangan senario sedemikian kumpulan rock yang ditubuhkan juga tidak harus dipersalahkan begitu sahaja. Kehendak pendengar dan peminat juga perlu diambil kira, begitu juga dengan permintaan pasaran namun sebagai pengikut setia rock, ruang untuk mempertikaikan kenapa keadaan itu terjadi sedemikian juga masih terbuka. Namun itu adalah cerita lama dan telahpun menjadi sejarah.
Untuk seterusnya dalam arena sebegitu kita tumpu pada perkembangan muzik rock tempatan masa kini, ini adalah kerana apa yang ada sekarang ini adalah lanjutan dari apa yang telah sedia ujud sejak dekad lapan puluhan lagi. Bayangkan kalaulah genre muzik rock seperti progressive rock / metal, power rock / metal, symphonic rock / metal, neo-classic metal, glam rock, cello rock, garange rock, punk rock, punta rock, raga rock, psychedelic rock, british invasion, chicano rock, glitter rock, pub rock dan banyak lagi genre dan sub genrenya telah kita takluki ketika itu. Bukankah mudah untuk para penggiat muzik rock kita menentukan aliran genre manakah yang patut mereka anuti.
‘Bukan salah ibu mengandung….’ kita terpaksa akur pada kehendak pasaran dan pendengar. Itulah yang terpaksa kita lalui ketika ini dalam meneruskan perjalanan muzik rock di Malaysia. Cuba kira berapa kerat sangatlah genre muzik rock yang pemuzik rock kita anuti ketika ini? Persoalannya kenapa jadi begitu? Apakah puncanya genre dan sub genre muzik rock seakan-akan terbantut dalam arena muzik tempatan? Apakah kerana pendengar atau peminat muzik rock tempatan lebih gemar pada rock n roll, heavy metal, alternative dan beberapa kerat lagi genre muzik rock? Persoalan sebegitu mungkin seringkali bermain dalam minda peminat atau pemuzik atau mungkin para pengubah lagu tempatan. Tapi tiada tindakan yang diambil untuk memastikan genre muzik rock lain terus berkembang dalam senario muzik rock tempatan.
Pernah diajukan persoalan itu pada pemuzik, penyanyi dan mereka yang terlibat dalam senario muzik rock tempatan, namun jawapan yang kurang menyuntik semangat rock dikeluarkan “…tiada ‘market’… ”, “…susah orang nak terima…”, “…company tak mau ‘bikin’…” dan pelbagai lagi alasan yang cukup kukuh untuk menidakkan kehadiran pelbagai lagi genre muzik rock ke persada muzik tempatan.
Isu itu bukanlah untuk menyalahkan mereka yang terlibat dalam muzik rock, tapi bagi pengikut, pengemar dan peminat rock yang mempunyai pelbagai citarasa dan pilihan ini juga turut terbantut. Mereka inilah golongan yang menjadi mangsa keadaan, namun mereka ini jugalah golongan yang tidak pernah putus asa dalam mencari apa yang mereka hendak, maka dengan permintaan dari mereka inilah juga secara tidak langsung telah mewujudkan satu lorong istimewa dalam kepelbagaian genre muzik rock tempatan. Mereka telah membawa masuk pelbagai genre dan sub genre muzik rock ke dalam senario muzik rock tempatan selain dari genre muzik rock yang telah sedia ada dalam masyarakat rock tempatan.
Beberapa genre dan sub genre muzik rock mulai memasuki arena muzik tempatan meskipun tidak mengujudkan kelompok kumpulan pemuzik yang mampu tampil dengan album komersial namun pengikut genre muzik rock seperti gothic rock / metal, symphonic rock / metal, neo-classic metal, cello rock, power metal, progressive metal, glam rock, arena rock, garage rock, post rock dan beberapa genre dan sub genre yang lain mulai merayap dan berkembang, meskipun tidak sehebat zaman kegemilangan rock 80’an.
Pengaliran genre sedemikian menjalar cuma melalui para pengemar dan peminat muzik genre rock sedemikian. Namun secara keseluruhannya pengikut muzik begitu masih boleh di bilang dengan jari. Ini bermakna aliran muzik sedemikian belum mampu mencambahkan lagi putiknya di persada muzik rock tempatan. Nampak cuma disebelah pihak sahaja yang berusaha menjadikan muzik genre rock sedemikian bertapak di kalangan warga rock tempatan. Maka di sini sekali lagi boleh ditimbulkan apakah peranan para pemuzik dan penggiat irama rock sendiri dalam menyemarakkan lagi arena rock tempatan agar terus meriah dengan pelbagai sub genre muzik rock. Kita fikirkan bersama dan sebagai warga rock tempatan mampukah kita mengemilangkan kepelbagaian irama rock itu kembali seperti apa yang terjadi di era 80’an. Untuk kegemilangan kali ini terdayakah kita menyemarakan kepelbagaian sub genre rock sekaligus agar arena rock tempatan terus mekar dan meriah. Horns up untuk rockers yang tetap berjiwa rock meski pada zahir nampak macam biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan